Suami pukul isteri lambat masak mi
KENINGAU 9 Mei - Hanya kerana lewat menyiapkan mi segera apabila diarahkan, seorang wanita telah ditumbuk, ditendang dan dipijak oleh suaminya yang berang di rumah pasangan itu di Kampung Kota Ayangan dekat sini kelmarin.
Malah, apa yang lebih menyedihkan, mangsa turut disiram dengan air panas selain pakaiannya dikerat dengan parang oleh suspek sehingga menyebabkan wanita itu berbogel.
Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Zahari Mohamed berkata, suspek yang berusia 38 tahun telah ditahan selepas isterinya membuat laporan polis semalam.
"Dalam laporan yang dibuat mangsa, dia mendakwa suaminya bergegas ke dapur dan menyimbah mi segera yang sedang mendidih ke atas badannya sehingga menyebabkan dadanya melecur.
"Suspek yang merupakan seorang petani kemudian dikatakan mengejar mangsa yang melarikan diri ke luar rumah dan menarik rambut mangsa selain menumbuk dan memijak mangsa.
"Tidak cukup dengan itu, mangsa juga mendakwa ditarik naik ke atas rumah sebelum diugut dengan sebilah parang serta pakaian mangsa dikerat sedikit demi sedikit dengan parang," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian dada, paha dan hampir keseluruhan anggota badan akibat dipijak, kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Keningau.