^_^ enJoy tHe LiFe ^_^: Hukuman penjara untuk ahli parlimen kinabatangan
Jangan lupa klik Nuff yer...n b my follower... :)

Hukuman penjara untuk ahli parlimen kinabatangan

~ Khamis, 20 Mei 2010

KUALA LUMPUR 19 Mei - Secara tiba-tiba, suasana di dalam dewan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini hari ini bertukar menjadi senyap dan sunyi.
Semuanya berpunca daripada keputusan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad yang menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Dengan keputusan itu, Bung Moktar menjadi ahli Parlimen pertama di negara ini yang dihukum penjara atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.
Isteri keduanya, pelakon Zizie Izette yang duduk di sebelah Bung Moktar, kelihatan terkejut dan terus memandang ke arah suaminya sebaik mendengar keputusan itu.
Zizie atau nama penuhnya, Zizie Izette A. Samad pula didenda RM1,000 atau penjara sebulan bagi kesalahan yang sama.

Bung Moktar atau nama sebenarnya, Moktar Radin, 51, juga didenda RM1,000 atau penjara sebulan kerana bersubahat dengan Zizie untuk berpoligami tanpa kebenaran.
''Tertuduh merupakan seorang ahli Parlimen yang terlibat dalam meluluskan sesuatu undang-undang. Beliau seharusnya menghormati dan mendukung undang-undang tersebut tidak kira undang-undang sivil atau syariah.
''Tertuduh wanita pula seorang pelakon wanita Muslim yang menjadi idola dan ikutan.
''Sekiranya kedua-dua mereka tidak boleh mengikut undang-undang, ia menunjukkan seolah-olah undang-undang syariah boleh dipermainkan oleh mereka yang berpengaruh dan berkepentingan,'' katanya.
Hukuman pemenjaraan itu dilihat agak sukar dipercayai oleh keluarga mertua Bung Moktar termasuk ibu mertuanya, Khaty Fauziah.

Ahli Parlimen yang pernah digelar Bigfoot itu bagaimanapun berjaya dalam permohonannya untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan.
Sementara rayuan didengar dan diputuskan, Bung Mokhtar diikat jamin RM1,000 beserta seorang penjamin dengan syarat notis rayuan perlu difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dalam tempoh 14 hari dan salinan notis itu perlu diserahkan ke mahkamah tersebut.

Pada prosiding hari ini, hakim syarie tersebut turut mendenda RM1,000 atau penjara enam bulan ke atas enam individu termasuk pelakon wanita itu kerana bersubahat dengan Bung Moktar yang berpoligami tanpa kebenaran.
Mereka ialah abang pemegang watak utama drama Aduhai Esah, Datuk Ahmad Shahazmi, 42, dan Samzy Fuzette, 34; adik mereka, Shaheizy Sam, 28; serta dua rakan Bung Moktar iaitu Sahari Ahmad, 54, dan Titing Putang, 56.
Ahmad Shahazmi yang juga wali kepada Zizie dan dua adik lelakinya itu turut menghadapi tuduhan tambahan iaitu menikahkan pelakon wanita itu serta menjadi saksi perkahwinan tersebut.

Bagi kesalahan ini, mahkamah menjatuhkan denda RM1,000 setiap seorang atau penjara sebulan.
Terdahulu, sebelum menjatuhkan hukuman, Wan Mahyuddin menyatakan, pernikahan yang tidak mengikut prosedur yang sepatutnya boleh dianggap sebagai pernikahan sindiket.

''Perkahwinan merupakan satu perjanjian yang agung sebab ia memastikan keturunan atau nasab yang soleh dan solehah.
''Dan oleh sebab itu, adalah perlu pasangan menzahirkan dan memasyhurkan perkahwinan masing-masing mengikut kemampuan tanpa dirahsiakan,'' katanya.
Hakim syarie itu juga menyatakan pernikahan tersebut mungkin sah kerana ia memenuhi rukun nikah tetapi ia juga perlu dilihat dari sudut undang-undang syariah Islam.
Hakim itu juga sempat menegur kesemua saksi perkahwinan tersebut.

Wan Mahyuddin menyatakan, abang dan adik lelaki Zizie serta rakan-rakan Bung Moktar sepatutnya membantu pasangan itu agar perkahwinan tersebut dapat dilangsungkan dengan betul dan mengikut hukum syarak.
Selesai prosiding, pihak media terpaksa menunggu pasangan itu hampir dua jam bagi mendapatkan reaksi mereka.
Bung Moktar bagaimanapun enggan mengulas panjang dan hanya menyatakan beliau menerima keputusan tersebut dan menyerahkan segalanya kepada Allah.
Zizie pula dengan ramah hanya berterima kasih kepada media yang hadir pada prosiding tersebut tanpa menjawab sebarang pertanyaan.

Peguam syarie Amli Embong yang mewakili semua tertuduh ketika ditemui pihak media turut memberitahu, pihaknya akan memfailkan permohonan pengesahan perkahwinan dan poligami pasangan itu dalam masa yang terdekat.

sumber

Comments
0 Comments
    
    

0 comments:

Catat Ulasan

..pas Baca kOmen la k..

Related Posts with Thumbnails

BannEr BloGgEr